Islam bukan suatu Deen (peraturan hidup) yang wujud secara kebetulan tetapi adalah satu natijah (hasilan) dari satu Tarbiyyah (pendidikan). Hasil dari perancangan, perencanaan, pembentukan yang disusun dengan rapi dan berhati-hati melalui ransangan-ransangan dan bimbingan yang diransangkan, yang bertujuan untuk melahirkan manusia yang Islam dalam pemikirannya, aqidahnya, akhlaqnya dan jiwanya dalam segala perbuatan dan tindakannya.
Dengan demikian segala perbuatan dan tindakan berfungsi sebagai ibadah dan mendapat keredhaan Allah S.W.T. Inilah dia pembentukan peribadi untuk melengkapi persediaan penerima Din Islam keseluruhannya.
Islam adalah Deen (peraturan hidup) ciptaan Allah S.W.T. dan Allah S.W.T. bertanggungjawab ke atas kepentingan Islam dan pengawasannya juga berada dalam genggaman Allah S.W.T.. Oleh demikian mereka yang mengambil Allah S.W.T. sebagai Ilah dan Rabb tidak mempunyai jalan lain, mesti memikul amanah ini iaitu melahirkan Islam dalam bentuk praktik kehidupan manusia, meliputi apa yang berkaitan dengan kehidupan manusia samaada pemikiran sehinggalah pentadbiran bumi Allah S.W.T. mestilah berjalan sesuai dengan kehendak Allah S.W.T..
Jika amanah ini tidak diambil, tentulah ia bermaksud kita memperkecilkan suatu rahmat Allah S.W.T., Pemilik alam ini.
Dengan demikian pada masa yang sama kita menolak Allah S.W.T. sebagai Ilah. Kedudukan Allah S.W.T. sebagai Ilah itu telahpun berpindah kepada yang lain berkemungkinan hawa nafsu atau bentuk yang lain, hasilan daripada pemikiran atau perasaan yang ada pada kita yang didorong oleh syaitan dengan bantuan dari kuncu-kuncunya.
Ramai orang yang berpuas hati dengan mengaku yang mereka telah menganuti Islam, tetapi suatu persoalan yang kita perlu fikirkan ialah apakah telah memadai pengakuan tersebut sahaja? Jawabnya, bila kita menganut Deen Islam adalah tidak cukup dengan pengakuan sahaja tanpa memenuhi tuntutan-tuntutannya.
Sesungguhnya Islam Itu Bukanlah Berbentuk Warisan.
Ramai yang memahami bahawa apabila ibubapa mereka telah Islam maka mereka pun dengan senang menyatakan bahawa mereka telah pun Islam, walaupun tanpa melaksanakan hak-haknya. Al-Quran itu bukanlah suatu warisan daripada Rasulullah S.A.W. tetapi ianya merupakan kitab Allah S.W.T. yang diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada Rasulullah S.A.W. untuk dijadikan panduan hidup ummat manusia.
Oleh itu memeluk Deen Islam bukanlah suatu hobi dan bukan juga sebagai suatu fesyen. Juga bukan memeluk Deen Islam itu sekadar menunjuk diri secara zahir sahaja, seperti Islam pada pakaiannya atau dengan hanya memeperbanyakkan solah sunnat sahaja. Sesungguhnya apabila kita memeluk Islam, kita mestilah mengambilnya dengan sepenuhnya iaitu dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup kita. Sebagai contoh seorang pembuat kuih, tentulah terdapat peraturan dan panduan yang tertentu. Begitu juga Islam juga mempunyai perincian-perincian yang tertentu sebagai pedoman hidup. Apa sahaja yang dilakukan samada pemikiran, perkataan, perbuatan dan tindakan kita adalah mesti mengikut cara dan ketentuan Islam. Ini termasuklah bagaimana kita mendapat pendidikan dan pemerintahan sebuah negara dan sebagainya. Dalam ertikata lain, semua tingkah laku kita hendaklah tidak terkeluar dari Islam. Umpamanya cara kita berpakaian. Dalam Islam tidak terdapat sebarang fesyen tertentu, tetapi yang ditentukan ialah mesti menutup aurat.
Bila kita memeluk Islam, kita mesti berpegang teguh dengannya. Iaitu sampai ke peringkat yang diterangkan oleh Rasulullah S.A.W. dalam hadith baginda yang bermaksud:
" Kamu mesti berpegang dengan sunnah sehingga sekalipun sampai keakhir zaman wujud dua golongan penyeru. Ada penyeru yang berada diambang pintu neraka dan segolongan lagi ialah penda'wah ke jalan kebaikan." Sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. bertanya: "Bila terjadi demikian apa yang mesti kami lakukan?" Sabda baginda: "Kamu mestilah berjalan dalam jamaah, kalau tidak ada jamaah kamu gigit sunnahku ini dengan geraham hingga kamu mati. "
Hati yang masih berpegang teguh dengan Islam sekarang ini masih banyak, tetapi terlalu sukar untuk kita mencari orang yang mahu mengambil Islam sebagai suatu cara hidup (way of life). Diumpamakan orang yang menganut dengan Islam kini seperti memegang bara api. Oleh yang demikian hendaklah kita berpegang teguh dengan Islam.
Perkara kedua ialah, kita mesti menyesuaikan diri dengan Islam. Adalah suatu kesilapan bagi orang yang mengambil Islam untuk disesuaikan dengan diri atau kehendaknya. Lantaran itu mereka akan mengambil Islam sebagai tempelan-tempelan sahaja, tidak mengambil Islam sebagai suatu cara hidup yang syamil dan kamil serta mutawazin. Perkara yang terpenting yang mesti kita fahami ialah Islam itu adalah sebagai Deen yang lengkap lagi menyeluruh yang diturunkan dan ditentukan oleh Allah S.W.T.. Kita mestilah menyesuaikan diri kita dengan kehendak Islam dalam semua urusan kehidupan kita. Sesungguhnya Islam itu mencakupi seluruh ruang lingkup aspek kehidupan manusia.
Islam tidak akan lahir semula jika ia tidak berjalan mengikut jalannya yang asal yang telah dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W. yang ditarbiyyah terus oleh Allah S.W.T.. Kita mesti yakin dan faham bahawa jalan Islam adalah jalan Rabbani yang telah dirancang oleh pencipta Deen itu sendiri. Kita tidak berhak untuk membuat sebarang teguran dan komen terhadap bentuk dan cara (uslub)nya. Kita hanya mempunyai keupayaan untuk mematuhi dan mengikut jalan-jalan yang telah dianjurkan, iaitu mengambil Islam sebagai sistem hidup yang lengkap lagi sempurna dan dalam masa yang sama kita hendaklah mengenepikan sistem-sistem hidup yang lain secara keseluruhannya. Islam tidak mungkin mengisi tempat-tempat yang masih berisi kecuali tempat tersebut dikosongkan.
Sistem Islam menuntut kita supaya menjadi Islam dalam semua aspek kehidupan iaitu:
- Islam dalam aspek 'aqidah,
- Islam dalam aspek ibadah
- Islam dalam tarbiyyah (pendidikan),
- Islam dalam akhlaq,
- Islam dalam rumahtangga dan keluarga,
- Islam dalam kemasyarakatan
- Islam dalam kenegaraan
Wallahu 'alam
Jumaat, 20 November 2009
ISLAM SEBAGAI CARA HIDUP
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan